CINTA?

Apa itu cinta? Soalan yang sering bermain di fikiran aku. Kadang-kadang aku merasakan cinta itu itu cukup indah dan kadang-kadang aku merasakan cinta itu cukup menyakitkan. Apa pun aku rasakan tentang cinta, satu perasaan saja yang dapat aku katakan ketika bercinta iaitu bahagia.Demi Tuhan aku merasakan hidupku akan sunyi tanpa cinta kerana meskipun tiada siapa yang memiliki aku sebagai teman hidup, aku tetap mahukan cinta kerana aku yakin maksud cinta itu begitu luas untuk kita spesifikkan. Aku yakin bahawa satu hari nanti pengertian cinta yang sebenar akan aku rasakan. Bagi aku cinta itu luas dan sekiranya kita hanya memandang cinta hanya kepada satu aspek sahaja iaitu kekasih, kita akan tenggelam di lautan kasih asmara kerana cinta pasangan kekasih begitu indah dan mampu untuk menangani rasa cinta yang lain kerana kita dapat melihat, memegang dan melakukan apa sahaja atas nama cinta. Kadang-kadang aku rasa pelik kenapa ada pasangan yang sanggup melakukan seks terbuka hanya kerana untuk menunjukkan rasa cinta atau kasih sayang mereka terhadap kekasih mereka. Apapun yang berlaku, aku yakin mereka tidak kenal apa itu cinta. Cinta tidak akan mengundang kepada perkara tersebut sekiranya mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan tahu membezakan antara yang baik dan yang buruk. Masyarakat kita acap kali mengatakan bahawa cinta itu bahaya kerana mampu mengundang apa pun perkara termasuk maut. Bagi aku, cinta tidak melakukan apa-apa kerana cinta hanyalah satu perasaan yang wujud atas dasar kasih yang suci dan manusia yang telah mengubah dasar tersebut kepada dasar yang tidak bermoral seperti maksiat dan sebagainya. Manusia telah merosakkan kesucian cinta apabila mereka menconteng cinta dengan pergaulan yang terlalu bebas dan perkara-perkara haram yang lain. Manusia telah menggunakan cinta sebagai medium untuk memuaskan nafsu mereka dan kehendak mereka sesuka hati terutama “Playboy” atau “playgirl”. Merekalah pemusnah jalan cinta yang sebenar kerana mereka telah memusnahkan sejuta impian manusia yang lain untuk merasai kesucian cinta. Mereka telah membawa kepada satu perkara buruk tentang cinta. Bukan itu sahaja, ada juga manusia menggunakan cinta sebagai medium untuk mereka melakukan zina, bersuka ria dan pelbagai lagi. Mereka telah salah dalam mengolah perasaan cinta. Rumusnya, cinta bukanlah satu perasaan yang kejam atau mampu menukarkan perasaan kita kepada kenikmatan atau kepahitan pada bila-bila masa sahaja tetapi kita yang salah dalam mengolah perasaan tersebut. Jika kita mengolah definisi cinta dengan meletakkan rasa cinta itu atas landasan agama dan dibina dengan rasa ikhlas kerana Allah, aku yakin selepas ini pasti tidak akan berlaku lagi kes seperti sumbang mahram, anak-anak gadis lari mengikut teman lelaki mereka, gadis lari dari rumah mengikut rakyat asing dan sebagainya. Cinta merupakan perasaan yang lahir dari dalam hati mengikut naluri fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah. Jika suci dan bersih hati kita, maka lahirlah sebuah perasaan cinta yang suci dan ikhlas. Kadang-kadang masyarakat kita dianggap terlalu kolot kerana tidak mengikut “trend” masyarakat global sekarang kerana mereka menganggap cinta perlu disemai dengan “Dating” , “Dinner” dan sebagainya. Bukan kita kolot tetapi kita cuba untuk mengimbangkan pembangunan lahiriah dan rohaniah kita. Kita cuba untuk menerapkan batas-batas dalam pergaulan. Aku tidak menidakkan perkara tersebut dapat memberikan kita peluang untuk lebih mengenali pasangan kekasih kita tetapi apa salahnya kalau kita mengikut ajaran agama dalam apa pun yang kita lakukan. Jika mahu keluar bersama kekasih kita, pastikan kita atau si dia membawa orang yang muhrim seperti adik beradik untuk menemani kita. Kita juga perlu memaklumkan ahli-ahli keluarga yang lain dan pelbagai lagi cara yang boleh kita pelajari agar apa yang kita lakukan bersama kekasih kita tidak dianggap sebagai perbuatan maksiat. Sekarang aku kecilkan skop dengan memandang dalam diri aku sendiri. Aku akui aku pernah jatuh cinta dan pernah bercinta. Aku akui aku pernah hanyut dengan cinta apabila keluar bersama si dia tanpa mengikut ajaran agama tetapi kini aku sedar aku perlu perbaiki hidup aku dan sesuaikan diri aku dengan ajaran agama. Agama islam merupakan keutamaan aku sekarang dalam apa pun perkara yang aku lakukan kerana aku yakin dengan ajaran agama, aku mampu untuk berjaya apatah lagi ditambah dnegan pengurusan hidup yang baik semasa di dunia membuatkan aku rasa lebih gembira sekarang. Aku merasakan ketenangan yang suci dan aku merasakan kenikmatan dalam bercinta iaitu cinta pada yang Esa. Aku jujur mengatakan sesungguhnya hati ini sukar untuk melupakan si Dia dan perasaan yang pernah aku rasakan terhadap diri si Dia. Aku faham bagaimana sukarnya seseorang itu untuk melupakan tentang cinta kerana seperti yang aku katakana sebentar tadi, cinta lahir dari hati. Oleh itu sukar untuk seseorang itu untuk melupakan cinta kerana hati kita sentiasa berada dalam tubuh kita dan itu menunjukkan yang cinta itu sentiasa ada dalam hati kita. Walaubagaimanapun, aku hanya menyimpan perasaan itu sebagai kenangan aku dan si dia. Dia merupakan kenangan terindah dalam hidup aku kerana dia membuat aku bahagia ketika bersama dia. Dia membuat aku tergelak, menangis, merajuk dan macam-macam lagi. Tapi malang dia pergi tinggalkan aku tanpa apa-apa apabila Allah menarik nyawanya akibat kemalangan. Ketika itu aku rasakan hidup ini sudah tiada erti dan aku amat sedih kehilangan dia dari hidup aku kerana aku sayang dia dan aku sukar untuk menerima kepergian dia. Tetapi, aku sedar bahawa itu qada’ dan qadar yang Allah telah tetapkan. Aku terima jika itu keputusan Allah untuk membawa dia pergi dari hidup aku kerana aku sedar apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Kini aku sedar apa itu cinta sebenarnya dan kerana itulah aku mampu dan berani untuk menulis tentang cinta. Kita hanyalah manusia biasa yang tiada apa-apa kuasa tetapi perasaan merupakan sesuatu naluri yang sukar untuk kita dapat dan sukar untuk kita hilangkan. Dengan menggunakan perasaan yang kita ada seperti cinta, kita mampu untuk membahagiakan orang lain. Siapa tahu dengan perasaan cinta yang betul atas landasan agama akan memberikan sebuah kebahagiaan yang abadi? Insyaallah. Apapun yang terjadi, sebagai manusia kita tidak dapat menafikan bahawa cinta pernah datang menghiasi kehidupan kita kerana cinta cukup kuat untuk ditolak. Perasaan kita memberontak kerana menginginkan kasih sayang agar perasaan itu mekar menjadi sebuah kebahagiaan buat selama-lamanya. Cinta meneguhkan lumrah kehidupan manusia ssebagi ujin daripada Allah S.W.T dan kita harus menghadapinya demi kematangan hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi yang cukup indah agar cinta terus berbunga di setiap sudut jiwa dan hati kita. Cinta perlu dipertahankan demi pendamping kepada keseronokan dan kebahagiaan manusia untuk terus hidup kerana cinta umpama pelangi yang menghiasai awan terang di siang hari. Namun, seterang manapun awan itu, pasti akan mendung kerana tidak semua ujian yang datang kita mampu hadapi. Tetapi, inilah yang dikatakan cinta. Cinta bukan tentang harta, wajah dan darjat tetapi cinta ialah tentang kesucian dalam perhubungan di bawah lembayung agama. Sekaya manapun seseorang itu, hati yang suci tetapi menjadi peneraju kebahagiaan. Sekacak atau secantik manapun seseorang itu, hati yang tulus dan ikhlas tetap menjadi teraju utama dalam kepercayaan. Setinggi manapun darjat seseorang itu, hati yang murni tetap bernilai untuk mencari kebahagiaan yang selama-lamanya. Oleh itu, kita sebagai manusia tidak dapat menafikan kewujudan cinta kerana Allah S.W.T sendiri inginkan kita untuk mencintainya dan makhluk-makhluk ciptaannya. Tuntasnya, fahamilah cinta,rasailah cinta dan genggamlah cintademi kemerduan dan keasyikan kehidupan yang sentiasa bertasbih kepada Allah S.W.T



Leave a Reply