Pilihan Raya ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008 mencatat satu lembaran baru dalam politik negara. Ia menyaksikan Barisan Nasional kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen buat julung-julung kali dalam pilihan raya. Ia juga merupakan keputusan terburuk parti berkenaan sejak 50 tahun dahulu. Malah keputusan kali ini jauh lebih teruk berbanding pilihan raya 1969 mahupun 1999. Barisan Naional kehilangan lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan. Usahanya untuk menawan semula Kelantan seperti yang dilakukan ke atas Terengganu dalam pilihan raya 2004 bukan sahaja gagal malah BN turut berputih mata di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Pada masa yang sama, pakatan pembangkang turut membolosi negeri Johor dan Pahang yang sebelum ini dianggap kubu keramat BN. Kedudukan BN di Terengganu dan Negeri Sembilan pula goyah berikutan kejayaan pembangkang menambah kerusi DUN di kedua-dua negeri tersebut.
Kee Thuan Chye ( 2008 ) dalam bukunya March 8 The Day Malaysia Woke Up berpendapat bahawa 8 Mac 2008 merupakan titik tolak kepada perubahan drastik dalam politik negara. Di mana para pengundi berjaya keluar dari bayangan perkauman dalam usaha mewujudkan satu negara yang lebih baik. Ia jelas satu tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dilihat gagal merealisasikan janji-janjinya serta acap kali mengecewakan rakyat dengan tindak-tanduknya yang tidak popular. Kegagalan kerajaan bertindak dengan bijak semasa berhadapan dengan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat majmuk serta ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran turut menyumbang kepada kekalahan besar Barisan Nasional. Para pengundi muda dilihat kurang memberi penekanan kepada faktor perkauman sebaliknya menekankan kemampuan kerajaan menjana ekonomi negara, kecekapan serta ketelusan jentera pentabdiran, aspek keselamatan dalam negeri dan isu-isu hak asasi manusia.
Walaupun keputusan pilihan raya 2008 membawa perubahan dalam landskap politik negara tetapi ia hanyalah permulaan kepada bermulanya satu titik hitam dalam lembaran politik negara yang semakin runsing, korup dan membimbangkan. Ia menampakkan keghairahan pembangkang untuk memperkukuhkan kuasa mereka manakala Barisan Nasional pula seperti ‘melukut di tepi gantang’ untuk memastikan kelangsungan politik mereka.
Barisan Nasional yang membentuk kerajaan dengan majoriti mudah dengan menguasai 140 daripada 222 kerusi di parlimen, dihantui oleh kekuatan barisan pembangkang yang berjaya menempatkan 82 wakil mereka dalam parlimen. Ini seterusnya menjadikan parlimen sebagai medan pertempuran yang paling sengit pernah berlaku dalam sejarah negara. Keadaan politik terus tidak menentu apabila de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan perang psikologi terhadap Barisan Nasional apabila mencanangkan Pakatan Rakyat bakal mengambil alih pucuk kepimpinan negara apabila mendakwa seramai 30 ahli parlimen BN khususnya dari Sabah dan Sarawak yang bersedia untuk ‘melompat parti’. Malah kerajaan baru dijangka akan berlaku pada 16 September 2008.
Pakatan Rakyat mendapat kejayaan moral menjelang 16 September apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya semula dan seterusnya dilantik sebagai ketua pembangkang. Walaupun kejayaan PKR tersebut sudah dijangka tetapi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi ternyata kecewa dengan tindak-tanduk PKR yang dikatakan cuba membeli ahli parlimen dan mempersoalkan rasional berbuat demikian kerana kerajaan BN memerintah dengan sokongan rakyat ( Berita Harian 20 Mac, 2008 ). Ini membuktikan Pakatan Rakyat terdesak untuk mengambil alih kuasa dan sanggup bertindak di luar etika demokrasi.
Angin perubahan yang bertiup kencang menjelang 16 September 2008 gagal direalisasikan namun menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim hasrat untuk berbuat demikian tidak pernah padam dan ia akan diteruskan ( NST. 29 Januari, 2009 ). Lantaran itu situasi politik dikatakan terus tegang dan ia tidak memihak kepada Barisan Nasional yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terangganu pada 17 Januari 2008 apabila ia gagal pertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi oleh calon PAS.
Barisan Nasional dan UMNO yang terdesak mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan diri mereka apabila mengambil keputusan untuk mengambil alih kerajaan Perak yang dibentuk dengan majoriti mudah. Ia dilakukan dengan penuh licik dan melibatkan perancangan yang cukup rapi. Iga AIa bertindak ‘menjilat semula ludahnya sendiri’ apabila membeli tiga ADUN dari Pakatan Rakyat yang masing-masing dua dari PKR dan satu dari DAP. Episod yang penuh dramatik itu berlaku pada 25 Januari 2009 apabila ADUN UMNO dari kawasan Bota mengumumkan dirinya keluar dari BN dan menyertai PKR. Kemasukan Datuk Nasaruddin yang juga berkas ahli Parlimen Parit dianggap sebagai kemenangan moral bagi Pakatan Rakyat menjelang pembicaraan dua ADUNnya yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah. Namun begitu, ‘panas yang dijangkakan sehingga petang’ gagal berterusan apabila tiga ADUN Pakatan Rakyat Jamaluddin Mohd Radzi ( Behrang ), Mohd Osman Jailu ( Changkat Jering ) dan Hee Yit Foong ( Jelapang ) dikatakan hilang dan telah dibeli oleh Barisan Nasional. Ini membawa kepada kegoyahan Pakatan Rakyat di Perak apabila UMNO dikatakan melakukan serangan balas bagi mengambil alih kuasa di Perak.
Datuk Seri Najib yang mengambil alih pucuk kepimpinan di Perak ekoran perletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli dikatakan menjadi master mind bagi kejatuhan pembangkang di Perak. Tiga Adun Pakatan Rakyat yang juga merupakan timbalan speaker dan dua exconya, Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee telah bertindak nekad dengan mengisytiharkan diri mereka keluar parti dan menjadi calon bebas yang ‘mesra BN’. Tindakan yang mengejut itu telah membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat yang hanya mampu bertahan selama 10 bulan di Perak. Pakatan Rakyat terus dirundung malang apabila Datuk Nasaruddin kembali ke pangkuan UMNO atas alasan menghormati pilihan rakyat. Ini seterusnya mendedahkan tembelang UMNO yang jelas telah mengatur strategi bagi merampas kuasa rakyat di Perak. Tindakan Adun Bota melompat parti dilihat sebagai cara mengabsahkan tindakan UMNO untuk memancing wakil pembangkang dan memudahkan adun pembangkang untuk berpaling tadah.
Konspirasi UMNO yang terancang itu jelas menimbulkan perasaan marah rakyat Perak yang merasakan diri mereka dipermainkan apabila BN yang secara terang-terang menafikan amalan demokrasi dengan mengambil alih kerajaan Perak tanpa mandate rakyat. Sebaliknya ia mengambil jalan mudah dengan membeli ADUN pembangkang dan menjadikan bilangan BN mengatasi Pakatan Rakyat dengan nisbah 31 BN dan 28 Pakatan Rakyat. Walaupun tindakan tersebut mendapat kritikan ramai pemimpin politik, badan-badan NGO dan ahli akademik. Dalam mengulas perkembangan di Perak, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa ‘tindakan melompat parti’ perwakilan di Perak seharusnya membawa kepada pembubaran DUN ( Malaysiakini. 8 Februari, 2009 ). Lantaran itu, beliau menasihati Perdana Menteri untuk berfikir dahulu sebelum menerima dua ADUN PKR yang bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah. Beliau menyarankan UMNO untuk tunggu sehingga keputusan mahkamah kerana tindakan secara terburu-buru bakal mengundang padah dan menjejaskan imej UMNO. Tengku Razaleigh turut sependapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beranggapan tindakan mengambil alih kerajaan secara paksaan akan memburukkan lagi imej Barisan Nasional yang tercalar teruk dalam . pilihan raya yang lepas. Malah beliau beranggapan Datuk Seri Nizar masih Menteri Besar Perak yang sah kerana ia dipilih oleh rakyat ( Malaysiakini. Februari 2009 ).
Dalam menangkis segala kritikan terhadap UMNO dan Barisan Nasional, Datuk Seri Najib berpendapat tindakan mengambil alih kerajaan merupakan tindakan yang sah dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. BN dikatakan mencontohi strategi Pakatan Rakyat yang cuba mengambil kuasa dengan menggunakan cara yang sama. Justeru itu, ia hanyalah bertindak ‘melawan’ kembali demi kelangsungan politik diri. Namun begitu, tindakan mengambil alih kuasa di Perak secara memancing ADUN pembangkang ternyata satu tindakan yang disifatkan ‘pengecut’ kerana ramai beranggapan sekiranya pilihan raya semula diadakan BN bakal mengalami kekalahan yang lebih teruk berbanding pilihan raya Mac 2008. Lantaran itu, BN tidak bersedia untuk terus menanggung kekalahan yang pasti akan menambahkan lagi kekalutan dalam perti tersebut. Ketidakpuasan hati para pengundi dan penyokong pembangkang menyaksikan kira-kira 3000 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar bagi menghalang upacara mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Pr. Zambry. Ia telah mencetuskan suasana tegang kira-kira sejam apabila kenderaan tetamu dan kenamaan yang menuju ke istana telah ditahan dan dilontar dengan pelbagai objek. Ini memaksa gas pemedih mata dilepaskan dan seramai 9 penunjuk perasaan telah ditahan. Bantahan rakyat berterusan apabila Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Zambry diejek oleh kira-kira 300 penunjuk perasaan semasa menghadiri Majlis Tahun Baru Cina di SJKC Yuk Choy. Dalam perhimpunan yang singkat tetapi penuh bermakna tersebut, lilin dinyalakan sebagai tanda protes dan berkuburnya demokrasi di negara kita di samping jeritan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bubarkan DUN’ turut dilaungkan.
Dalam usaha untuk mengaburi rakyat, UMNO cuba mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu keengganan Datuk Nizar untuk meletak jawatan serta cadangan Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak. Laporan polis serta beberapa siri demontrasi jalanan diadakan di seluruh negara bagi mengutuk Pakatan Rakyat yang dianggap derhaka dan menghina Sultan Perak. Ini seterusnya menonjolkan imej UMNO sebagai pelindung kedaulatan sultan manakala pembangkang pula jelas dilihat sebagai penderhaka dan sewajarnya ditolak oleh rakyat. Walaupun tindakan UMNO itu mendapat liputan meluas dalam media massa tetapi rakyat jelata jelas sudah masak dan meluat dengan taktik UMNO tersebut yang jelas tidak lagi berkesan dalam memenangi hati rakyat yang semakin bosan dan jelik. Pilihan Raya kecil bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang Perak dan DUN Bukit Selambau Kedah pada 7 April bakal menyaksikan pertembungan sengit BN dan Pakatan Rakyat dalam usaha menonjolkan pengaruh masing-masing. Namun begitu, berdasarkan perkembangan politik kini, Pakatan Rakyat dijangka akan menguasai semula kedua-dua kerusi tersebut walaupun diasak dengan begitu hebat oleh BN.
Pilihan Raya Mac 2008 yang menyaksikan tumbangnya Barisan Nasional di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan jelas tidak mampu diterima oleh parti tersebut yang dilihat semakin tidak relevan dengan perjuangan politik pada masa kini. Perjuangan BN yang bertunjangkan perkauman semakin ditolak dan ia mengakibatkan pelbagai desakan di kalangan komponennya bagi menjenamakan semula parti tersebut. Malangnya terdaoat segelintir pemimpin BN khususnya dari UMNO yang enggan mengambil risiko tersebut kerana bimbang dengan arus perubahan yang bakal meragut kedudukan dan kuasa mereka. Golongan ini dilihat lebih gemar meneruskan agenda ketuanan Melayu dalam usaha menguasai menerajui kepimpinan negara.